Tuesday, January 10, 2012

11.01.2012


Masa berlalu semakin pantas, sedar-sedar sudah setahun berlalu. Masing-masing sibuk dengan tugas demi kelangsungan hidup. Agar hidup lebih bermakna dan memaknakan masa yang berlalu. 11.01.2012 Moga kembali cergas & cerdas berkarya untuk memurnikan kehidupan.

Sunday, January 9, 2011

Al-Fatihah Buat Saudara Alik Hassan

Tanggal 8 Januari 2011, SIFAR telah kehilangan seseorang yang punya daya di dalam kerja seni. Seluruh kerabat SIFAR mengucapkan Takziah kepada Malek Hassan serta keluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Wednesday, December 29, 2010

Tahniah! AKHIRNYA SEMANGAT BOLA KEMBALI MEMBARA : Ada apa sebaliknya?

29 Disember 2010, 90 + 4 Minit tambahan berlalu, sepanjang tempoh itu, ramai yang menunggu penuh debaran akan kejayaan penuh bermakna. Akhirnya kemenangan memihak kepada generasi baru bola sepak Malaysia. Apa yang nyata, rata-ratanya generasi baru punya daya untuk terus melakar kegemilangan. Itulah semangat yang patut kita pupukkan. Agar generasi baru terus produktif mencapai kecemerlangan. Tak kiralah apa bidangnya sekali pun. Yang penting golongan muda diberi peluang untuk terus berkembang. Yang lama, jadilah pembimbing kepada yang baru. Jangan asyik melayani persoalan-persoalan yang tiada penghujungnya. Ada mata, lihat. Ada akal, fikir. Ada kudrat, laksanakan saja. Kegemilangan berpasukan lebih manis dari kegemilangan diri.

Tuesday, December 28, 2010

Ayuh! Mari Membajai Fikiran

Melahirkan karya tidak semudah ucapan yang dilontarkan bila waktu duduk berbual sambil menikmati kopi. Idea mencurah-curah bagaikan siraman hujan yang tidak turun berbulan-bulan lamanya. Mungkin dapat difikirkan kaedah untuk memudah cara merealisasikan idea itu ke pentas. Yang utama, komitmen naluri secara kolektif perlu disuburkan untuk terus menghasilkan karya-karya bukan hanya menghiburkan malah punya kekuatan untuk membuka mata fikir sekeliling. Ayuh! sama-sama kita menbajai fikiran untuk terus berkarya!

Selesai...Yang Pasti, Tak Puas.

Malam ini telah berlangsungnya pementasan ke-2 untuk Teater Rosli Dhoby: Luka Darul Hana. Sememangnya aku rasakan pementasan kali ini agak menurun daripada aspek keseluruhannya. Namun dari sudut individu, beberapa pelakon merasakan sebaliknya. Entah ada sesuatu yang memangkinkan fikiran setelah selesai pementasan. Mungkin, ada sesuatu yang belum dapat aku selesaikan.

Yang pasti, kepuasan dalam mengerjakan karya teater belum pernah aku temui, membuatkan aku ingin terus menghasilkan sesuatu yang lebih baik di masa depan. Kekuatan sesuatu karya datangnya dari kesatuan nurani produksi. Persamaan hari ini adalah cambahan dari pengalaman masa lalu dengan luahan nafas baru. Merujuk kepada aspek pembikinan set yang aku kendali, biarpun dikatakan sama namun hakikatnya tak serupa setelah menilai kewajaran kehendak pengarah, masa dan peruntukan. Tindakan ini adalah wajar bagiku daripada membiarkan pentas itu tanpa latar set atas alasan kekurangan pelakon, keterbatasan masa serta ketiadaan peruntukan seperti yang sering dibangkitkan oleh golongan tertentu. Mengalirlah dari mata hati yang jernih.

Monday, December 27, 2010

Hasrat, Kritikan & Karya di akhir 2010


5 Jun 2009, aku pernah menulis tentang hasrat untuk mementaskannya. Alhamdulillah tanggal 27 & 28 Disember 2010 telah merealisasikannya walaupun tidak mementaskannya bersama SIFAR. Hampir setahun lebih aku berehat dalam karya pementasan, entah secara tiba-tiba aku dihubungi untuk merekabentuk set untuk sebuah pementasan teater. Tanpa mengetahui topik pementasan, tanpa keberatan, aku menerima pelawaan itu. Rupa-rupanya pementasan itu ada kaitan dengan hasrat yang belum terlaksana. Dunia teater di Kuching sememangnya tidak pernah berubah dan perubahan ke arah positif dan lebih produktif itu hanya akan dapat dilakukan oleh individu-individu yang punya keikhlasan untuk terus mengalir dan berkarya. Kritikan amat perlu untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti namun hentaman emosi usah dilayan kerana hanya menghabiskan masa dan membantutkan akal untuk terus berkarya. Selamat menonton ROSLI DHOBY: LUKA DARUL HANA.

Tuesday, December 7, 2010

Setahun Sudah Berlalu.....


Hari berlalu bagaikan pecutan jentera F1 dilitar lumba. Setahun sudah tidak terasa lamanya. Ada perkara yang pantas berubah namun ada juga yang masih tetap tidak berubah malah terus tidak berganjak untuk berubah. Berubah ke arah yang lebih positif itu yang paling utama. Yang lama, ada yang mau berubah tapi ada yang merasakan dirinya berubah tapi masih juga ditakuk lama. Biarlah mereka itu melayan diri dalam keegoaan memakan diri, generasi baru harus berubah agar tidak terikut oleh generasi yang hanya merasakan diri mereka berubah tapi tak terubah. Menunggu masa menjadi fosil. Ayuh! generasi baru, terus subur berkarya!

Thursday, November 26, 2009

SYAJAR – DARI NASKAH KE PENTAS Catatan Pengarah

Kejayaan Tukang Ensera menjadi johan Festival Teater Malaysia 2008 merupakan satu tanda aras dalam arkib SIFAR sejak penubuhannya pada Oktober 2006. Kejayaan itu merupakan satu permulaan yang cukup baik untuk sebuah persatuan seperti SIFAR. Lebih manis lagi SIFAR turut meraih lima anugerah individu dalam festival paling berprestij dalam dunia teater melayu Malaysia tersebut. Kejayaan adik Serivina, seorang anak yang baru bertatih dalam dunia teater meraih anugerah pelakon pembantu wanita terbaik adalah madu kepada kejayaan tersebut. Namun kemanisan itu hanyalah sejarah yang tidak menjanjikan apa-apa kejayaan pada masa akan datang. Sepertimana namanya, SIFAR tahu untuk ‘reset’ dan kembali semula kepada ‘nol’ dalam usaha untuk terus berjuang dalam dunia seni dengan mengimplementasikan kemurnian jiwa yang jitu.

Justeru Festival Teater Malaysia 2009 peringkat negeri Sarawak menjadi satu medan tempur baru untuk SIFAR dalam usaha meneruskan perjuangannya. Teater berjudul Syajar karya Ismail Kassan digalang SIFAR untuk festival kali ini. Syajar adalah antara naskah teater yang masih popular dikalangan para pengiat teater NGO dan IPTA di Malaysia walaupun ianya dihasilkan pada tahun 1976. Ini kerana tema yang diketengahkan oleh naskah ini masih lagi relevan dan bersifat sejagat. Syajar merupakan sebuah drama masyarakat yang bersifat realisme magis memaparkan konsep diri manusia dan perjalanan hidup yang selalu saja berkonfrantasi antara satu sama lain. Syajar yang berasal dari perkataan bahasa arab Al-Syajarah bermaksud pohon yang rendang berkisar tentang kepercayaan manusia terhadap sebatang pohon sena dan harapan yang mereka letakkan terhadap pokok tersebut. Watak-watak dalam drama ini bergantung hidup dengan kewujudan pokok sena itu dan konflik antara watak itu timbul apabila mereka ingin menegakkan kepercayaan masing-masing.

Naskah Syajar ini dipilih kerana ianya kaya dengan dengan lambang dan berunsurkan surealistik, satu konsep yang menjadi kegemaran SIFAR kerana sifatnya yang menduga daya pemikiran. Unsur-unsur surealistik juga melangkaui batasan realisme dan ini membuka ruang yang lebih luas untuk daya kreativiti. SIFAR sedaya mungkin menggarap naskah ini dengan memberikan identiti SIFAR dalam persembahannya. Pemilihan elemen-elemen lain dalam teater harus bertepatan dengan konsep pementasan yang dipilih. Latar pentas, busana, prop dan pencahayaan seharusnya menyokong dan mengukuhkan konsep pementasan yang ingin diketengahkan. Perwatakan setiap watak di atas pentas juga harus selari dengan konsep untuk memastikan keseluruhan elemen-elemen tersebut membentuk satu kesatuan konsep yang kukuh. SIFAR menjadikan asas-asas tersebut sebagai panduan dalam proses penciptaan teater Syajar. Penggunaan lambang mewajarkan pemilihan latar pentas, busana dan prop yang mudah dan ringkas. Ini meringankan kerja-kerja persiapan memandangkan masa yang diperuntukkan untuk persiapan semasa festival amat terhad.

Kerja-kerja teater merupakan kerja kolektif, maka proses mengangkat naskah Syajar ke pentas memerlukan sumbangan setiap ahli produksi. Sumbang saran cadangan dan pandangan dari setiap ahli produksi sudah menjadi budaya kerja SIFAR. Setiap cetusan-cetusan idea yang dilontarkan akan diperhalusi dan diwajarkan dengan konsep pementasan yang mahu diketengahkan. Pengarah akan bertindak sebagai moderator kepada proses pencernaan ini. Cetusan-cetusan idea tersebut bukan setakat cetusan semata-mata, tapi harus mempunyai justifikasi yang menjawab persoalan yang lahir daripada cetusan tersebut. Dan tidak semua idea-idea yang diketengahkan akan digunapakai kerana tidak menepati kewajaran konsep keseluruhan pementasan. Unsur-unsur kekaguman yang tidak menyokong dan tidak bertepatan dengan konsep tidak akan digunakan kerana ianya akan mencacatkan persembahan. SIFAR tidak menghadkan sumbang saran idea kepada ahli produksi sahaja. Pendapat dan cadangan dari otai-otai teater juga diambil kira dalam usaha mempertingkatkan mutu persembahan teater Syajar.

Pemilihan pelakon yang sesuai merupakan antara proses penting dalam memproduksikan sebuah teater. Dalam proses ini, SIFAR sentiasa memberi penekanan kepada membuka ruang kepada setiap individu dalam produksi untuk menyerlah bakat lakon yang mereka ada. SIFAR juga memberi peluang untuk mereka meneroka potensi-potensi dan bakat-bakat lain yang mereka miliki. SIFAR mensasarkan untuk melahirkan pekerja-pekerja teater yang berkebolehan dari segenap aspek penghasilan sebuah teater. Kerana kerja-kerja teater bukan setakat berlakon semata-mata. Kerja-kerja rekabentuk produksi seperti busana, tatarias, latar pentas dan pencahayaan juga memerlukan kemahiran-kemahiran yang tertentu. SIFAR menjadikan setiap produksinya ruang untuk melatih ahli-ahli produksi tentang kemahiran-kemahiran lain dalam teater. Syajar membuka peluang kepada Mohamad Suffian Hasbi dan Balqis Said mendokong watak yang lebih besar berbanding produksi sebelum ini. Sementara Wezan Saili pula berpeluang menyerlahkan bakat muziknya apabila menjadi Pengarah Muzik untuk produksi Syajar kali ini. Malek Hassan yang sebelum ini menjadi pelakon utama dalam produksi Tukang Ensera pula diberi peluang untuk mengasah bakat kepengarahannya apabila bertindak sebagai Penolong Pengarah I.

Antara misi lain SIFAR menyertai festival teater adalah untuk membuka ruang dan peluang kepada muka-muka baru untuk melestarikan potensi mereka dalam kegiatan kesenian terutamanya teater. Produksi Syajar kali ini menandakan satu kejayaan kepada misi tersebut apabila lebih ramai lagi muka-muka baru diketengahkan berbanding Produksi Tukang Ensera. Muka-muka baru ini terdiri dari 10 orang pelajar tingkatan 2, 4 dan 6 SMK Tun Abang Haji Openg dan ahli persatuan tarian Sri Openg serta seorang pelajar tingkatan 2 Sekolah Seni Kuching. Para pelajar yang sebelum ini kurang mengenali teater telah diberi peluang untuk mendekati teater dengan cara dan gaya SIFAR. Mereka diberi pendedahan tentang aspek-aspek penting yang diperlukan untuk menanggapi dan menghasilkan sebuah produksi teater. SIFAR memberi penekanan penting kepada latihan asas persiapan seorang pelakon yang merangkumi aspek fizikal, mental dan vokal dalam setiap sesi latihan yang dijalankan. Kegagalan menguasai kemahiran asas ini akan menghasilkan lakonan yang kurang meyakinkan. SIFAR mengharapkan moga-moga akan ada dikalangan semangat-semangat muda ini mereka yang akan terus tumbuh dan berkembang menjadi bakat-bakat seni yang akan meneruskan kesinambungan perjuangan SIFAR.

Alhamdulillah, SIFAR sekali lagi di beri peluang untuk dinilai semula untuk pemilihan ke peringkat kebangsaan. 7 Disember 2009 ini akan menjadi hari perhitungan kepada SIFAR dan produksi Syajar samada akan melangkah ke Festival Teater Malaysia 2010 atau sebaliknya. Apa yang pasti, mengimbangi atau melampaui kejayaan lalu bukanlah apa yang diharapkan. Yang lebih penting bagi SIFAR ialah mencipta satu lagi tanda aras perkembangan SIFAR dalam arus utama teater Sarawak. Satu tanda aras yang lebih besar daripada kejayaan itu sendiri.

Wednesday, October 21, 2009

FESTIVAL TEATER NEGERI SARAWAK 2009


Festival datang lagi. Nawaitu berbeza-beza. Kemenangan apa yang dicari? Berapa lama ianya akan kekal? Untuk Apa? Yang pasti, muncul SIFAR adalah untuk MEMAKNAKAN KATA-KATA. Bukannya untuk "mengada-ngada, mengena-ngena". eD Senggora

Wednesday, September 30, 2009

Mana Seninya?


Setiap kali sesuatu yang indah itu ada seninya. Kesenian yang indah lahir dari olahan pengiat seni yang telah dianugerah-NYA bakat dan kemampuan. Saban waktu kita terserempak dengan golongan-golongan yang mengaku tahu istilah seni namun buta pada pengertian dan pelaksanaannya. Mereka saja berlagak pandai namun lagak itu tak ubah seperti seekor kera yang 'Bodoh sombong'. Kalau pun kita tidak bersetuju terhadap karya orang lain sepatutnya ia disusuli dengan kritikan yang membina bukannya dengan pandangan sinis mahupun cemuhan di belakang.

Bagi diriku, nyatanya golongan ini bukan saja 'kosong' akan pengertian seni itu malah tidak pernah menghargai seni itu sendiri. Mereka hanya topengan seni yang menjadi virus kesenian yang seterusnya menjahanamkan masa depan generasi baru yang sebetulnya mahu mengenali dan mendalami bidang kesenian. Siapa musuh seni itu? Siapa yang menjahanamkan Seni itu? Tidak lain dan tidak bukan, golongan yang mengaku pandai dan MENGAJAR seni itu sendirilah puncanya. Malang sekali golongan yang telah diamanahkan untuk mengembangkan serta mengamalkan seni itu buta akan pengertian seni. Atas sebab itu kesesatan dan kehancuran kesenian semakin tidak terkawal yang akhirnya masyarakat memandang serong akan SENI. Belum lagi dari persoalan keagamaannya.

Adakah seni dipisahkan dari agama? sama-samalah kita fikirkan.(itu pun kalau mereka mahu memikirkannya dan seharusnya seorang yang berseni itu menjadi seorang pemikir bukannya menjadi seorang yang FAKIR intelek.) Yang difikirkan mereka hanyalah pangkat, ganjaran wang ringgit dan pujian. Padahal mereka itu adalah 'PENCOPET ATAS NAMA SENI' yang mencuri ruang dan peluang pengiat-pengiat seni yang sebetulnya ikhlas untuk menghasilkan sesuatu kesenian. Keikhlasan untuk berseni tidak boleh dilakonkan sama sekali kerana IKHLAS itu adalah dari-NYA.
> ed senggora

Friday, August 7, 2009

Sajak Terakhir W.S. Rendra

Dalam mencari berita di internet, aku terjumpa sebuah laman blog yang memaparkan sajak terakhir W.S Rendra:


WS Rendra -- last poem

God, I Love You': WS Rendra's Last Poem

Six days before he died, WS Rendra wrote a poem from his hospital bed. In the untitled poem, Rendra expressed his love to God.

The handwritten poem was shown at his house in Depok on Friday.

I am weak
But not helpless
I am not complaining about the pain
or the itch

I want to drink tajin [rice water residue]
I never have difficulty breathing
but my physique is not satisfactory
to have a normal and ideal position

I want to cleanse my body
from chemical poison

I want to return to nature's way
I want to improve my dedication
to Allah

God, I love you

Rendra
31 July 2009
Mitra Keluarga Hospital

Thursday, August 6, 2009

W.S. Rendra : Perginya Penyair Tersohor


Baru semalam saudara Tuah mengkhabarkan tentang kesihatan penyair tersohor W.S. Rendra yang semakin uzur. Pagi ini aku tersentak oleh khabar yang dipaparkan di Berita Harian Online tentang pemergiannya ke Rahmatullah. Sememangnya pemergian W.S. Rendra aku rasai kerana karya-karyanya mendedahkan aku tentang dunia teater dan kehidupan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Berikut petikan beritanya:


Penyair terkemuka WS Rendra meninggal dunia

JAKARTA: Budayawan dan penyair terkemuka Indonesia W.S Rendra, yang juga mempunyai banyak peminat di Malaysia, meninggal dunia di sebuah hospital di sini malam tadi setelah lebih sebulan dirawat kerana penyakit jantung.

Media massa tempatan melaporkan Rendra, 74, yang juga dikenali "Si Burung Merak" meninggal dunia jam 10.15 malam tadi, dan meninggalkan 11 orang anak daripada tiga orang isteri, yang mana dua daripadanya sudah diceraikan.

Setelah memeluk Islam pada Ogos 1970 ketika menikahi isteri keduanya, Sitoresmi Prabuningrat, beliau menukar namanya menjadi Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Renda.

Selain sajaknya, Rendra juga dikenali ramai di Malaysia melalui filem bertema agama yang dilakoninya "Al Kautsar" pada 1980-an.

Jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat di Bengkel Teater, Citayam, Depok dekat sini, tidak jauh dari kubur sahabatnya, Mbah Surip, penyanyi reggae yang mendadak popular di Indonesia dengan lagu "Tak Gendong", yang meninggal dunia Selasa lalu.

Rendra beberapa kali memperoleh anugerah dalam bidang sastera, antaranya Penghargaan Adam Malik pada 1989, SEA Write Award pada 1996 dan Penghargaan Achmad Bakri pada 2006. - Bernama

Tuesday, June 30, 2009

Kejayaan sebenarnya.....


Kejayaan yang telah dikecapi tidak menjamin kejayaan di masa depan kalau kita tidak mendalami makna kejayaan sebelumnya. Menuju kejayaan masa depan bukanlah sukar jika kita punya pengertian yang mendalam tentang kejayaan yang sebenarnya. Dan, KESATUAN itu amat penting dalam memangkinkan proses penghasilan sesebuah karya. Bukan hanya sekadar ucapan atau ghairah yang melulu.

> eD Senggora

Wednesday, June 17, 2009

Kan, dah terjadi...Bikin susah orang 'sajer'.


Terkawal terkawal terkawal. Hari ini media negara kita telah melaporkan kes penularan wabak H1N1 tempatan pertama yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan. "Salah satu dari kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) adalah kes penularan tempatan yang pertama berlaku di negara ini," begitulah kata-kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican. Siapa yang menyebarkannya?. Ada yang sembunyi-sembunyi dan akhir rakyat negara kita yang tak pernah jejak tanah luar negara pun dah jadi mangsanya jugak. Suruh lapor diri pun susah . Akhirnya menyusahkan orang lain. Kalau dah tak nak bagi kerjasama dan tak nak bertanggungjawab, usah 'gago-gago' pergi balik luar negara. Ceh! Sendiri mati baru raser. Bikin susah orang sajer. Tapi 'takper'. Cara ini mungkin boleh bantu juger. Klik sini. Hehehe....

> eD Senggora

Sunday, June 14, 2009

Oh Bulan...Dan sebenarnya.....


Semalam aku menonton Discovery Channel. Kisahnya tentang pembangunan roket untuk ke angkasa lepas. Tetiba saja aku teringatkan kontroversi tentang pendaratan angkasawan AS di bulan. Betul ker? Atau sebenarnya selama ini manusia di seluruh dunia telah berjaya dibohongi oleh AS? Dan sekiranya pembohongan itu benar, adakah ianya akan di terima begitu saja oleh generasi-generasi akan datang sebagai fakta perkembangan teknologi special effect atau fakta tektikal perang saraf yang ketika itu digunakan oleh AS untuk menyaingi Russia?

Berikut adalah tulisan yang aku dapat di internet tentang isu tersebut:

Amerika dituduh reka cerita penjelajahan Neil Armstrong: Kontroversi pendaratan angkasawan AS di bulan

SEJAK 33 tahun lalu, tidak ramai penduduk dunia mempersoalkan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa angkasawannya telah berjaya menjejak kaki ke bulan. Dari sekolah sehinggalah ke universiti, sama ada pelajar, guru mahupun pensyarah, semuanya percaya kepada hakikat itu tanpa perbahasan.

Amerika telah menang perlumbaan menawan bulan pada 1969.

Dakwaan AS bahawa komandan kapal angkasa Apollo 11 Lunar Module, Neil A. Armstrong menjadi orang pertama menjejak kaki di bulan pada 20 Julai 1969 diterima sebagai satu sejarah terbesar umat manusia.

Di negara-negara membangun, pemerintah dan rakyatnya sejak dulu lagi tiada keupayaan untuk mempertikaikan `kejayaan' angkasawan-angkasawan AS naik ke bulan.

Mereka sendiri tidak mempunyai kepakaran.

Bagaimanapun baru-baru ini ada sebahagian kecil orang tidak mempercayai cerita AS itu, dan mereka dianggap ketinggalan zaman.

Pada umumnya manusia yang lahir pada tahun 1960-an dan selepas itu hampir keseluruhannya takjub dengan kisah angkasawan Amerika mendarat di bulan.

Seluruh dunia memandang tinggi kemampuan teknologi angkasa AS berikutan kejayaan Neil Armstrong dan rakan-rakannya.

Tetapi kini kita digemparkan dengan polemik yang ditimbulkan oleh rakyat Amerika sendiri yang secara terbuka menyangkal dakwaan bahawa manusia sudah sampai di bulan.

Menurut mereka, fakta mengenai Apollo dan Armstrong sebenarnya palsu semata-mata.

Nama Apollo dan Armstrong yang begitu sinonim dengan bulan tiba-tiba menjadi buruk sedikit.

Malah lebih dahsyat lagi, AS dituduh oleh stesen TV AS sendiri sebagai penipu besar kerana sengaja membuat dakwaan palsu kononnya Apollo dan Armstrong mendarat di bulan.

Kegawatan isu ini bermula apabila rangkaian TV Fox pada 15 Februari dan 19 Mac 2001 menyiarkan sebuah dokumentari berjudul Teori konspirasi: Benarkah kita mendarat di bulan? Rancangan kira-kira sejam itu dihoskan oleh pelakon X-Files, Mitch Pileggi.

Siri interviu dengan orang ramai diadakan. Semuanya menuduh NASA telah melakukan penipuan terhadap umat manusia di seluruh dunia.

NASA dikatakan memalsukan fakta tentang pendaratan kapal angkasa Apollo di bulan pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Tuduhan bahawa NASA melakukan penipuan terbesar dalam sejarah manusia di seluruh dunia itu bukan sekadar dakwaan semata-mata.

Salah seorang daripada responden yang ditemu bual dalam rancangan itu, Bill Kaysing membuat kenyataan yang lebih keras terhadap NASA.

Menurut lelaki tersebut, dia mempunyai bukti untuk mendedahkan penipuan NASA dan pemerintah AS termasuk gambar-gambar yang diambil oleh angkasawan dan keterangan kejuruteraan.

Selain itu, dia juga mendakwa disokong oleh laporan fizik dan saintifik yang menafikan dakwaan NASA itu.

Malah, Kaysing turut menyimpan dokumen testimoni angkasawan yang terlibat dalam projek meneroka bulan pada tahun 1960-an.

Dokumentari TV yang menampilkan persoalan yang tidak diduga itu benar-benar menggemparkan.

Ia memberi tamparan hebat kepada NASA yang enggan membuat penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan fakta dan penipuan yang mereka lakukan.

Lebih memeranjatkan apabila dokumentari itu membuat kesimpulan bahawa penipuan NASA dilakukan di gurun Nevada di AS.

Kononnya di situlah gambar pendaratan palsu Apollo dan Armstrong `di bulan' dirakamkan dan kemudian disiarkan di seluruh dunia.

Tekanan

Menurut beberapa pihak, kesanggupan AS melakukan penipuan itu dikatakan didorong oleh tekanan persaingan kuasa ketika Perang Dingin dengan Soviet Union.

Pada 1960-an dan awal 1970-an, agensi angkasa lepas NASA dikatakan langsung tidak mempunyai keupayaan teknikal yang membolehkan mereka menghantar angkasawan ke bulan.

Tetapi untuk menunjukkan kepada dunia dan Soviet Union bahawa AS menguasai teknologi aeroangkasa, NASA membuat dakwaan palsu bahawa angkasawannya sudah mendarat di bulan.

Melalui dakwaan palsu itu AS mengharapkan Soviet Union tertekan dan lebih menghormatinya sebagai kuasa besar dunia.

Kumpulan yang skeptikal terhadap keupayaan AS itu bertambah yakin NASA sebenarnya cuma mereka-reka fakta apabila lebih banyak bahan bukti dan pertikaian dikemukakan kepada umum.

Salah satu daripadanya ialah tentang kesahihan gambar dua angkasawan AS yang dikatakan sedang berjalan di bulan.

Gambar yang diambil dari transmisi televisyen Apollo 17 itu memperlihatkan bayang-bayang dua angkasawan tersebut yang jelas kelihatan tidak selari.

Ini menguatkan dakwaan bahawa gambar itu sebenarnya dirakamkan dengan bantuan beberapa lampu tambahan.

Keraguan pada gambar lain juga timbul apabila terdapat percanggahan bayang-bayang. Kononnya, ketika angkasawan sedang berjalan membelakangkan cahaya, bayang-bayang terbentuk di hadapannya.

Tetapi sebaliknya pada masa yang sama bahagian hadapan angkasawan itu cerah terkena cahaya sedangkan ia mustahil terjadi jika tidak terdapat satu punca cahaya lain di hadapannya.

Turut dipersoalkan ialah ketiadaan langsung latar belakang bintang-bintang bagi setiap gambar yang dirakamkan. Bendera AS yang sedang berkibar juga menimbulkan tanda tanya kerana di bulan dikatakan tiada angin.

Alasan lain ialah gambar tidak boleh dirakamkan menggunakan filem ketika berada di bulan yang mempunyai suhu 250û Fahrenheit. Suhu itu menyebabkan filem akan rosak kerana terlebih dedahan cahaya.

Enjin LM yang digunakan oleh kapal angkasa Apollo pula mempunyai kuasa cukup tinggi tetapi amat menghairankan apabila ia tidak meninggalkan kesan dan tidak menerbangkan sedikit habuk sekalipun ketika mendarat.

Banyak lagi alasan dikemukakan untuk menguatkan dakwaan bahawa NASA dan AS sebenarnya cuma mereka-reka fakta mengenai penerokaan di bulan.

Sehingga minggu ini kontroversi yang dicetuskan oleh dokumentari TV Fox itu masih belum dapat ditangkis.

Kegagalan NASA melenyapkan dakwaan itu menyebabkan desas-desus merebak pantas ke seluruh AS. Kumpulan yang tidak percayakan NASA dan AS semakin membesar.

Bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam dokumentari TV Fox itu, NASA bercadang menerbitkan sebuah buku khas.

Malangnya, minggu lalu penerbitan buku itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

Kepada mereka yang menuduh AS menipu, keengganan NASA itu menguatkan lagi keyakinan mereka bahawa NASA memang mereka-reka fakta tentang Apollo dan Armstrong mendarat di bulan.

Bagaimanapun, bagi bidang sains penerokaan angkasa, Neil Armstrong dan rakannya Edwin Aldrin dan Michael Collins tetap diingati sebagai manusia pertama yang mendarat di bulan.

Fakta ini tidak berubah sampailah dakwaan-dakwaan seumpama itu boleh dibuktikan.

Siapakah yang benar?

(Sayup-sayup di telingaku lagu, DAN SEBENARNYA nyayian Yuna. "Oh BULAN..., enggan melayan diriku lagi pabila, air mata membasahi pipi dan lagu2 di radio seolah2 memerli aku....")

> eD Senggora