Skip to main content

Oh Bulan...Dan sebenarnya.....


Semalam aku menonton Discovery Channel. Kisahnya tentang pembangunan roket untuk ke angkasa lepas. Tetiba saja aku teringatkan kontroversi tentang pendaratan angkasawan AS di bulan. Betul ker? Atau sebenarnya selama ini manusia di seluruh dunia telah berjaya dibohongi oleh AS? Dan sekiranya pembohongan itu benar, adakah ianya akan di terima begitu saja oleh generasi-generasi akan datang sebagai fakta perkembangan teknologi special effect atau fakta tektikal perang saraf yang ketika itu digunakan oleh AS untuk menyaingi Russia?

Berikut adalah tulisan yang aku dapat di internet tentang isu tersebut:

Amerika dituduh reka cerita penjelajahan Neil Armstrong: Kontroversi pendaratan angkasawan AS di bulan

SEJAK 33 tahun lalu, tidak ramai penduduk dunia mempersoalkan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa angkasawannya telah berjaya menjejak kaki ke bulan. Dari sekolah sehinggalah ke universiti, sama ada pelajar, guru mahupun pensyarah, semuanya percaya kepada hakikat itu tanpa perbahasan.

Amerika telah menang perlumbaan menawan bulan pada 1969.

Dakwaan AS bahawa komandan kapal angkasa Apollo 11 Lunar Module, Neil A. Armstrong menjadi orang pertama menjejak kaki di bulan pada 20 Julai 1969 diterima sebagai satu sejarah terbesar umat manusia.

Di negara-negara membangun, pemerintah dan rakyatnya sejak dulu lagi tiada keupayaan untuk mempertikaikan `kejayaan' angkasawan-angkasawan AS naik ke bulan.

Mereka sendiri tidak mempunyai kepakaran.

Bagaimanapun baru-baru ini ada sebahagian kecil orang tidak mempercayai cerita AS itu, dan mereka dianggap ketinggalan zaman.

Pada umumnya manusia yang lahir pada tahun 1960-an dan selepas itu hampir keseluruhannya takjub dengan kisah angkasawan Amerika mendarat di bulan.

Seluruh dunia memandang tinggi kemampuan teknologi angkasa AS berikutan kejayaan Neil Armstrong dan rakan-rakannya.

Tetapi kini kita digemparkan dengan polemik yang ditimbulkan oleh rakyat Amerika sendiri yang secara terbuka menyangkal dakwaan bahawa manusia sudah sampai di bulan.

Menurut mereka, fakta mengenai Apollo dan Armstrong sebenarnya palsu semata-mata.

Nama Apollo dan Armstrong yang begitu sinonim dengan bulan tiba-tiba menjadi buruk sedikit.

Malah lebih dahsyat lagi, AS dituduh oleh stesen TV AS sendiri sebagai penipu besar kerana sengaja membuat dakwaan palsu kononnya Apollo dan Armstrong mendarat di bulan.

Kegawatan isu ini bermula apabila rangkaian TV Fox pada 15 Februari dan 19 Mac 2001 menyiarkan sebuah dokumentari berjudul Teori konspirasi: Benarkah kita mendarat di bulan? Rancangan kira-kira sejam itu dihoskan oleh pelakon X-Files, Mitch Pileggi.

Siri interviu dengan orang ramai diadakan. Semuanya menuduh NASA telah melakukan penipuan terhadap umat manusia di seluruh dunia.

NASA dikatakan memalsukan fakta tentang pendaratan kapal angkasa Apollo di bulan pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Tuduhan bahawa NASA melakukan penipuan terbesar dalam sejarah manusia di seluruh dunia itu bukan sekadar dakwaan semata-mata.

Salah seorang daripada responden yang ditemu bual dalam rancangan itu, Bill Kaysing membuat kenyataan yang lebih keras terhadap NASA.

Menurut lelaki tersebut, dia mempunyai bukti untuk mendedahkan penipuan NASA dan pemerintah AS termasuk gambar-gambar yang diambil oleh angkasawan dan keterangan kejuruteraan.

Selain itu, dia juga mendakwa disokong oleh laporan fizik dan saintifik yang menafikan dakwaan NASA itu.

Malah, Kaysing turut menyimpan dokumen testimoni angkasawan yang terlibat dalam projek meneroka bulan pada tahun 1960-an.

Dokumentari TV yang menampilkan persoalan yang tidak diduga itu benar-benar menggemparkan.

Ia memberi tamparan hebat kepada NASA yang enggan membuat penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan fakta dan penipuan yang mereka lakukan.

Lebih memeranjatkan apabila dokumentari itu membuat kesimpulan bahawa penipuan NASA dilakukan di gurun Nevada di AS.

Kononnya di situlah gambar pendaratan palsu Apollo dan Armstrong `di bulan' dirakamkan dan kemudian disiarkan di seluruh dunia.

Tekanan

Menurut beberapa pihak, kesanggupan AS melakukan penipuan itu dikatakan didorong oleh tekanan persaingan kuasa ketika Perang Dingin dengan Soviet Union.

Pada 1960-an dan awal 1970-an, agensi angkasa lepas NASA dikatakan langsung tidak mempunyai keupayaan teknikal yang membolehkan mereka menghantar angkasawan ke bulan.

Tetapi untuk menunjukkan kepada dunia dan Soviet Union bahawa AS menguasai teknologi aeroangkasa, NASA membuat dakwaan palsu bahawa angkasawannya sudah mendarat di bulan.

Melalui dakwaan palsu itu AS mengharapkan Soviet Union tertekan dan lebih menghormatinya sebagai kuasa besar dunia.

Kumpulan yang skeptikal terhadap keupayaan AS itu bertambah yakin NASA sebenarnya cuma mereka-reka fakta apabila lebih banyak bahan bukti dan pertikaian dikemukakan kepada umum.

Salah satu daripadanya ialah tentang kesahihan gambar dua angkasawan AS yang dikatakan sedang berjalan di bulan.

Gambar yang diambil dari transmisi televisyen Apollo 17 itu memperlihatkan bayang-bayang dua angkasawan tersebut yang jelas kelihatan tidak selari.

Ini menguatkan dakwaan bahawa gambar itu sebenarnya dirakamkan dengan bantuan beberapa lampu tambahan.

Keraguan pada gambar lain juga timbul apabila terdapat percanggahan bayang-bayang. Kononnya, ketika angkasawan sedang berjalan membelakangkan cahaya, bayang-bayang terbentuk di hadapannya.

Tetapi sebaliknya pada masa yang sama bahagian hadapan angkasawan itu cerah terkena cahaya sedangkan ia mustahil terjadi jika tidak terdapat satu punca cahaya lain di hadapannya.

Turut dipersoalkan ialah ketiadaan langsung latar belakang bintang-bintang bagi setiap gambar yang dirakamkan. Bendera AS yang sedang berkibar juga menimbulkan tanda tanya kerana di bulan dikatakan tiada angin.

Alasan lain ialah gambar tidak boleh dirakamkan menggunakan filem ketika berada di bulan yang mempunyai suhu 250รป Fahrenheit. Suhu itu menyebabkan filem akan rosak kerana terlebih dedahan cahaya.

Enjin LM yang digunakan oleh kapal angkasa Apollo pula mempunyai kuasa cukup tinggi tetapi amat menghairankan apabila ia tidak meninggalkan kesan dan tidak menerbangkan sedikit habuk sekalipun ketika mendarat.

Banyak lagi alasan dikemukakan untuk menguatkan dakwaan bahawa NASA dan AS sebenarnya cuma mereka-reka fakta mengenai penerokaan di bulan.

Sehingga minggu ini kontroversi yang dicetuskan oleh dokumentari TV Fox itu masih belum dapat ditangkis.

Kegagalan NASA melenyapkan dakwaan itu menyebabkan desas-desus merebak pantas ke seluruh AS. Kumpulan yang tidak percayakan NASA dan AS semakin membesar.

Bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam dokumentari TV Fox itu, NASA bercadang menerbitkan sebuah buku khas.

Malangnya, minggu lalu penerbitan buku itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

Kepada mereka yang menuduh AS menipu, keengganan NASA itu menguatkan lagi keyakinan mereka bahawa NASA memang mereka-reka fakta tentang Apollo dan Armstrong mendarat di bulan.

Bagaimanapun, bagi bidang sains penerokaan angkasa, Neil Armstrong dan rakannya Edwin Aldrin dan Michael Collins tetap diingati sebagai manusia pertama yang mendarat di bulan.

Fakta ini tidak berubah sampailah dakwaan-dakwaan seumpama itu boleh dibuktikan.

Siapakah yang benar?

(Sayup-sayup di telingaku lagu, DAN SEBENARNYA nyayian Yuna. "Oh BULAN..., enggan melayan diriku lagi pabila, air mata membasahi pipi dan lagu2 di radio seolah2 memerli aku....")

> eD Senggora

Popular posts from this blog

Kemana perginya SIFAR setelah Penggali Intan?

Dengan kesempatan ini, SIFAR ingin merakamkan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh 2015 hingga 2018. Sememangnya agak lama menyepi di laman blog ini namun SIFAR tetap muncul dengan karya-karyanya. 2015, SIFAR telah mementaskan 'SI PANJI RUMPUT' karya Jamshari Saili di Festival Teater Malaysia(FTM) 2015 dan telah berjaya ke peringkat 6 kumpulan terbaik di peringkat kebangsaan pada tahun 2016. Walaupun SIFAR tiada merangkul anugerah pada FTM 2016, ianya tidak sesekali mematahkan semangat SIFAR untuk terus mementaskan karya-karya seterusnya. Anugerah bukanlah segalanya bagi SIFAR, yang UTAMAnya adalah prosesnya. Proses untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu di masa hadapan serta melahirkan generasi baru yang mampu meneruskan kesenian Teater khususnya serta kesenian-kesenian yang lain amnya. Menyusuli 'SI Panji Rumput', SIFAR mementaskan 'Mendung Berlalu' karya Jais Sahok di FTM peringkat negeri Sarawak 2017. Biarpun tiada kejayaan anuge...

'Lautan Bernyanyi' di Astro AWANI SARAWAK

Alhamdulillah, SIFAR diberi kesempatan untuk muncul seketika di Astro AWANI SARAWAK 3 OKTOBER 2019. Terima Kasih Astro AWANI SARAWAK.

Penghargaan dari SIFAR, kami akan terus 'Belayar!' demi Ibu Pertiwi.

SIFAR dengan hormatnya mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Putu Wijaya - penulis nashkah 'Lautan Bernyanyi', agensi-agensi yang terlibat dalam penganjuran Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2019. TERIMA KASIH Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Sarawak Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak SK Matang Jaya Panel Juri FTM peringkat negeri Sarawak 2019 Para Media khususnya RTM, BERNAMA, UTUSAN SARAWAK, SARAWAKVOICE dan para media yang membuat liputan FTM peringkat negeri Sarawak 2019. Tetamu-tetamu kehormat, keluarga SIFAR, rakan-rakan serta khalayak kesenian. Semua yang baik adalah dari-Nya, yang sebaliknya adalah kelemahan kami.