Skip to main content

Teater Peringkat Sekolah. Apa Sebenarnya?


Pertandingan Drama Bahasa Inggeris Antara Sekolah-sekolah Menengah Bahagian Kuching telah diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan pada 8 hingga 9 Mei 2008 yang lalu. Saya berpeluang pergi menonton persembahan dari SMK Bako, SMK Bau, SMK Green Road dan SMK Matang Hilir. Rata-ratanya mereka punya bakat namun masih banyak latihan dan ruang yang perlu diperbaiki. Sememangnya pertandingan dilangsungkan dalam bahasa inggeris dan sewajarnya bahasa tersebut diucapkan dengan betul dan jelas. Ini perlu dilakukan agar mesej yang dibawa dapat difahami secara langsung mahupun tidak langsung.

Tahniah buat adik-adik dari SMK Bako kerana dapat mementaskan drama dalam bahasa inggeris walaupun persediaan ke arah produksi dilakukan dalam waktu yang agak singkat. Kelemahan pada sebutan masih perlu diperbaiki lagi namun secara keseluruhan persembahan mereka berjalan secara lancar dan menghiburkan. Di harap mereka ini dapat mendalami seni teater ini lagi agar ianya dapat memberi manfaat kepada diri dan masyarakat amnya.

Apa yang saya perhatikan, pada tahun ini, elemen-elemen tradisi cuba ditonjolkan oleh sesetengah sekolah yang bertanding harus diberikan pujian. Walau bagaimanapun terdapat beberapa aksi yang dipaparkan oleh beberapa buah sekolah yang kurang sesuai untuk dipertontonkan. Aksi-aksi seperti sepak terajang, tapar-menampar yang kurang pengarapan dari segi teknik lakonan sedikit sebanyak mencacatkan persembahan mereka.

Kalau dilihat dari aksi-aksi yang dipaparkan, perkara sebegini nampaknya sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita. Agaknya masyarakat kita dari hari ke sehari sudah semakin ganas. Namun perlukah aksi-aksi tersebut dipertontonkan sedemikian rupa?. Tambahan pula ianya dilakukan di peringkat pementasan sekolah menengah. Di mana letaknya pertimbangan pengarahan?, di bahu para pelajar tersebutkah?, atau di bahu cikgu yang membimbing mereka dalam persembahan tersebut? Apa yang mahu mereka tonjolkan?, Adakah hanya menjurus kepada aksi-aksi sebegitu atau mesej di dalam cerita? Kenapa ini terjadi? Apakah kurangnya aspek latihan dalam kegiatan berteater di peringkat sekolah? Atau kegiatan teater ini hanya diwujudkan sewaktu adanya pertandingan?

Kalau dilihat dari segi teknikal, sememangnya banyak kekurangan, namun itu bukan menjadi alasan sesebuah cerita itu tidak dapat disampaikan dengan baik. Apakah rasionalnya berlakon di dalam gelap hanya untuk menunjukkan waktu itu malam sedangkan para penonton tidak dapat melihat sesuatu aksi atau gerak dengan jelas? Apakah pertandingan ini hanya untuk mendengar dialog sahaja tanpa memikirkan gerak tubuh dan mimik muka para pelakon? Atau apakah pertandingan ini hanya untuk mendengar para pelakon mengucapkan dialog dalam sebutan yang tepat dalam sesuatu bahasa? Kalau begini hendaknya, kenapa tidak diadakan saja pertandingan drama berbentuk radio?

Sesuatu penjelasan dan pendedahan harus dikemukakan kepada pihak sekolah agar seni teater ini dapat dipersembahkan dengan baik, walaupun tidak mantap tetapi setidak-tidaknya kemas dan teratur. Selain itu para pelajar dapat mengenal apa itu kegiatan seni teater dan fungsi sebenarnya kepada masyarakat. Bukan sekadar syok sendiri atau hanya untuk menyertai sesuatu acara mahupun pertandingan.

Timbul beberapa persoalan disini,

Apakah pertandingan sebegini hanya sebagai untuk memupuk penggunaan sesuatu bahasa? atau hanya memberi pendedahan kepada para pelajar untuk tampil di pentas? atau, apakah pertandingan ini hanya sekadar untuk disertai secara tahunan?

Rata-rata generasi muda ini harus didedahkan secara lebih teliti tentang apa sebenarnya seni teater. Kelab-kelab drama sekolah bukan hanya sekadar diwujudkan untuk mencukupi aktiviti ko-kurikulum. Bukan hanya diwujudkan semata-mata untuk sesuatu majlis sekolah mahupun pertandingan. Pernah suatu ketika, sewaktu perjumpaan yang dianjurkan Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, segelintir yang bergelar cikgu menyatakan drama atau seni teater itu tidak ada apa-apa. Mereka lebih rela memilih seni yang lain untuk disertai oleh para pelajar mereka. Dimanakah silapnya?, apakah silap golongan yang mengelarkan diri mereka orang-orang teater atau orang-orang seni di sekitar bandaraya Kuching? atau segelintir cikgu yang semacam tahu tetapi sebenarnya tidak tahu malah tidak mahu tahu apa itu teater? Oleh yang demikian, sama-samalah kita fikirkan dan memperbetulkan persepsi ini. > eD Senggora

Popular posts from this blog

'Lautan Bernyanyi' di Astro AWANI SARAWAK

Alhamdulillah, SIFAR diberi kesempatan untuk muncul seketika di Astro AWANI SARAWAK 3 OKTOBER 2019. Terima Kasih Astro AWANI SARAWAK.

PELAYARAN SIFAR 2019

Sudah terlalu lama menyepi di laman ini kerana dibuai media sosial facebook mahupun whatsapp . Sekadar untuk catatan sejarah buat kali ini, SIFAR muncul lagi dengan karya Putu Wijaya dengan judul LAUTAN BERNYANYI. Alhamdulillah, rezeki dari-Nya datang lagi. Terima kasih semua. Terima kasih juga kepada saudara Anwar Pisang kerana telah memperkenalkan skrip gurunya itu. Mohon kebenaran dan sampaikan salam pada penulis untuk mementaskan nashkahnya. Semoga kita terus berkarya lagi & sentiasa dijalan yang diredhai-Nya. Aamiiin.

Hasrat, Kritikan & Karya di akhir 2010

5 Jun 2009, aku pernah menulis tentang hasrat untuk mementaskannya. Alhamdulillah tanggal 27 & 28 Disember 2010 telah merealisasikannya walaupun tidak mementaskannya bersama SIFAR. Hampir setahun lebih aku berehat dalam karya pementasan, entah secara tiba-tiba aku dihubungi untuk merekabentuk set untuk sebuah pementasan teater. Tanpa mengetahui topik pementasan, tanpa keberatan, aku menerima pelawaan itu. Rupa-rupanya pementasan itu ada kaitan dengan hasrat yang belum terlaksana. Dunia teater di Kuching sememangnya tidak pernah berubah dan perubahan ke arah positif dan lebih produktif itu hanya akan dapat dilakukan oleh individu-individu yang punya keikhlasan untuk terus mengalir dan berkarya. Kritikan amat perlu untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti namun hentaman emosi usah dilayan kerana hanya menghabiskan masa dan membantutkan akal untuk terus berkarya. Selamat menonton ROSLI DHOBY: LUKA DARUL HANA.